Tuesday, December 20, 2011

Ibu Menyusu Perlu...

Jika anda seorang ibu yang menyusu, anda perlu:

Memastikan yang kesihatan anda sentiasa  optimum, kesihatan yang kak long maksudkan di sini adalah kesihatan fizikal, emosi. dan rohani.

Kesihatan fizikal seorang ibu yang menyusu membantu beliau dalam memastikan nutrien yang beliau salurkan kepada bayi mencukupi dan tubuh beliau turut memperolehi nutrien yang cukup. Bagaimana? Dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, itu sudah cukup untuk seorang ibu. Namun jika anda merasakan makanan yang diambil seharian tidak seimbang, maka pengambilan suplemen boleh membantu.

Kesihatan emosi pula membantu ibu tersebut sentiasa tenang dan jauh daripada sebarang tekanan sama ada di tempat kerja, di rumah mahupun persekitaran. Kenapa? Dalam keadaan tertekan, penghasilan hormon oksitoksin akan terjejas. Pancutan susu  ibu dikawal oleh hormon oksitosin yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari (posterior).

Hisapan bayi pada puting payudara ibu mencetuskan impuls yang dibawa oleh neuron ke otak untuk merangsang kelenjar pituitari (posterior) merembeskan oksitosin. Oksitosin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara ibu. Kehadiran oksitosin merangsang sel mioepitelia mengecut dan seterusnya merangsang pancutan susu melalui duktus laktiferus ke arah areola dan puting payudara. Tindakan ini dinamakan refleks oksitosin atau lebih dikenali sebagai let-down reflex.

Bagaimanakah ibu menyusu ini dapat memastikan yang hormon oksitosin sentiasa stabil? Si ibu tersebut perlulah sentiasa ceria dan mampu mengawal segala tekanan yang ada di sekitarnya. Sebagai contoh, jika si ibu tadi mengambil makanan kesukaannya atau mendengar lagu kegemarannya dan ketika itu si ibu tadi sedang mengepam susu, si ibu akan mendapati yang let-down reflex lebih mudah didapati malahan mungkin mendapat LDR lebih dari sekali.

Selain itu, pengambilan makanan yang mengandungi B-complex dan Vitamin C membantu dalam memastikan si ibu kekal ceria dan hormon oksitosin sentiasa berterusan.

Dan yang paling penting, kesihatan rohani sangat memainkan peranan. Jiwa yang tenang merangsang pengeluaran hormon oksitosin juga. Kerapkan berdoa, berzikir dan bersolat sunat memohon agar perjalanan penyusuan selama 2 tahun dapat dijayakan.